We Love Islam We Love The Truth

Tuesday, April 27, 2010

Madu Lebah Asli – Pembekal Tenaga Segera Dan Pembunuh Virus/Bakteria






Analisis Kandungan Nutrisi Madu Lebah



Analisis peratusan struktur molekul tertentu dalam kandungan nutrisi madu lebah adalah seperti berikut:


Fruktosa: 38.2%, Glukosa: 31.3% , Sukrosa: 1.3% ,Maltosa: 7.1% ,Air: 17.2% ,Gula lain: 1.5% , Lain-lain: 3.2%

Manakala dari segi ketumpatannya, madu lebah mempunyai ketumpatan 36% lebih tumpat daripada air.

Madu lebah mengandungi beberapa Mineral di dalamnnya iaitu:

* Kalsium (Ca), Phosphor (P), Sulfur, Natrium (Na), Thiamin, Niacin, Karbon, Riboflavin, Kalium, Ferum, Zink, klorin, iodin, kuprum, silika dan

Madu lebah mengandungi beberapa vitamin seperti vitamin A, B kompleks, C dan E.


Persoalan, mengapakah Madu lebah membekalkan tenaga segera jika dibandingkan dengan makanan lain?

Ini adalah kerana purata kandungan jumlah gula paling ringkas monosakarida(Fruktosa: 38.2%, Glukosa: 31.3%), dalam madu lebah iaitu sebanyak ~ 70 % .


Kandungan gula paling ringkas monosakarida yang banyak ( ~70 %) yang secara langsung membekalkan tenaga segera untuk sebarang aktiviti. Penukaran gula kepada gula paling ringkas monosakarida ini sebenarnya telah dilakukan melalui air liur lebah.


Berbeza dengan gula ringkas disakarida yang sedikit jumlahnya di dalam madu lebah (Sukrosa: 1.3% ,Maltosa: 7.1%) hanya ~ 9 % perlu menjalani tindabalas kimia yang memerlukan enzim ‘invertase’ dan ‘amilase’ bagi penukaran kepada gula paling ringkas – monosakarida glukosa dan fruktosa sebelum digunakan untuk tenaga bagi sebarang aktiviti.


Gula harian biasa yang dimakan iaitu sukrosa adalah gula ringkas disakarida yang memerlukan enzim ‘invertase’ dan ‘amilase’ bagi penukaran kepada gula paling ringkas – monosakarida sebelum digunakan untuk tenaga . Ini memberatkan kerja proses kimia dan fisiologi di dalam badan berbeza dengan manisan madu lebah asli yang kaya dengan gula paling ringkas monosakarida( Fruktosa: 38.2%, Glukosa: 31.3%) iaitu sebanyak ~ 70 % yang terus membekalkan tenaga.


Struktur kimia glukosa dan sukrosa ditunjukkan seperti berikut :


Glukosa : monosakarida










Sukrosa: Disakarida memerlukan enzim ‘invertase’ atau ‘amilase’untuk menghasilkan monosakarida










Oleh itu madu lebah terkenal kegunaannya sebagai pemulih tenaga dan saraf.

Kajian telah menunjukkan bahawa bacteria tidak dapat hidup dengan kehadiran madu lebah. Ini disebabkan oleh factor zat mineral Kalium di dalam madu yang menghisap lembapan dari bacteria yang penting untuk kehidupan.

*

Dalam Al-Qur’an Surah An Nahl Allah SWT berfirman bermaksud :

"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah "Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia."Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (MADU) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkannya.
(Surah an-Nahl: ayat 68 - 69)

Dari Abu hurairah r.a Rasulullah saw bersabda:

"Barangsiapa yang menjilat MADU 3 kali dalam sebulan di waktu pagi dia tidak akan diserangi penyakit yang serius."
(Sunan Ibni Majah)

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a Rasulullah saw bersabda:

"Gunakanlah dua penawar ini, iaitu MADU dan Al-Qur’an."

Di dalam kitab Tibbun Nabawi(Ibn Qayyim) menyebutkan pantang larang penggunaan madu lebah :


Dilarang sama sekali memakan buah tembikai/timun cina bersama-sama dengan madu kerana boleh membawa bahaya/maut.Mungkin hasil tindakbalas kimia daripada percampuran dua bahan tersebut yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Satu contoh, penggunaan madu disertakan bahan tambahan tertentu untuk penyembuhan:

Sakit Perut dan Kembung

Madu yang dicampur serbuk kayu manis dapat mengubati sakit perut. Juga dapat membersihkan perut, serta menyembuhkan bisul sampai ke akar-akarnya.Penelitian yang dilakukan di India dan Jepun menyatakan bahwa madu yang diminum bersama kayu manis dapat mengurangi gas dalam perut.

Rujukan :


1.Zabidi H. Nawawi: Perubatan Nabawi Dan Perubatan Tabi’e; Pustaka Muda,1998
2.Dr Abdul Karim Najib al khatib: Madu Lebah Ubat Yang Turun Bersama Wahyu; Pustaka Ilmi,1994
3.Ibn Qayyim : Tibbun Nabawi

4. http://en.wikipedia.org/wiki/Honey

5.http://en.wikipedia.org/wiki/Glucose
6.http://en.wikipedia.org/wiki/Sucrose

Laman Info Saintifik Dan Ketulenan Madu lebah :

1.http://memori-kedah.net/page_pengenalan.php?p=2&idstopic=58&idskandungan=209&id=738&mtopic=7

2.http://www.intro2u.net/new/2009/06/khasiat-madu-lebah/

Monday, April 26, 2010

BIOGRAFI RINGKAS IMAM TIRMIDZI DAN KELEBIHAN KITAB HADIS, SUNAN AL- TIRMIDZI




BIOGRAFI RINGKAS IMAM TIRMIZI


Imam Tirmizi nama penuh beliau ialah Imam Al-Hafiz Abu Isa Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin Ad-Dahhak As-Sulami al-Bughi At-Tirmizi. Dilahirkan pada 209 H di Tirmiz pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Jaafar al –Makmum. Beliau merupakan salah seorang imam hadis. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 13 rajab 279H/892M di Bugh ketika berumur 70 tahun.

Pujian Ulamak Terhadapnya

Menurut apa yang dipetik daripada al Hafiz Muhammad b. Tahir al-Maqdisi melalui sanadnya daripada al-Hafiz Abdul Rahman b. Muhammad al-Idrisi : “al- Tirmizi adalah seorang hafiz , imam dalam pengajian hadis Rasulullah”. Telah menyusun Sunan al- Tirmizi, tarikh dan ilal.

Menurut al-Zahabi : “ al- Tirmizi adalah seorang hafiz, sangat alim dan telah diijmakkan oleh ulama dari segi tiqhahnya.

Imam al-Bukhari ada meriwayatkan hadis daripadanya kerana mengakui ketinggian ilmunya.

Menurut Ibn Hajar, Umran b. Allan menerangkan: “ Setelah al-Bukhari meninggal dunia, tidak terdapat di Khurasan orang yang sama dengan al Tirmizi dari segi ilmu dan warak.


KELEBIHAN KITAB HADIS, SUNAN AL - TIRMIZI
Sunan al- Tirmizi telah mendapat pujian yang begitu tinggi daripada ulama:

1. Menurut catatan Ibn Hajar imam al Tirmizi ada menerangkan: “ Setelah aku siapkan kitabku ini(Sunan al- Tirmizi) aku bentangkan kepada ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan, mereka semua menerima kitab ini.

2. Menurut al-Hafiz Muhammad b. Tahir al-Maqdisi, seorang imam yang bernama Abu Ismail Abdullah b. Muhammad al Azhari menerangkan: “Setelah Sunan al- Tirmizi diperkatakan dihadapannya beliau berkata: Menurut pendapat saya kitab al Tirmizi lebih manfaat (dipandang dari segi ulum al-Hadis) daripada kitab al Bukhari dan Muslim kerana sahih Bukhari dan Muslim hanya dapat dinilai oleh orang yang benar-benar mahir dalam ilmu hadis, sedangkan Sunan al- Tirmizi dapat dinilai oleh setiap pembaca, kerana Imam al- Tirmizi menerangkan penilaian pada setiap hadis yang diriwayatkan”.

al- Tirmizi adalah orang yang pertama membahagikan hadis itu kepada 3 bahagian: sahih, hasan dan daif. Sebelum daripada itu, hadis hanya dibahagikan kepada sahih dan daif sahaja. Daif menurut ulama sebelum al Tirmizi terbahagi kepada 2 bahagian. Daif yang boleh diamalkan adalah sama seperti hadis hasan menurut al- Tirmizi dan daif yang tidak boleh diamalkan ialah daif menurut al- Tirmizi.

Ringkasnya, hadis-hadis yang terdapat di dalam sunan al-Tirmizi dari segi diterima untuk dijadikan hujah atau tidak dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sahih, hasan dan daif.


Rujukan:

Ringkasan/Petikan buku bertajuk:
BIOGRAFI ULAMA-ULAMA HADIS;
Prof. Madya Dr Ariffin B Omar(Ketua Jabatan Al-Quran dan As-Sunnah Fakulti Pengajian Islam UKM),
H.M. Yusuf Sinaga.Lc,
Jahabersa, Cetakan Pertama : 2005



Suatu Pandangan Kepada Golongan Yang Menyeru Untuk Tidak Bermazhab


Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab.*


Mungkin terdapat sesetengah golongan berpendapat bahawa masyarakat awam pada hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan para ulama, masyarakat hanya perlu mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja secara terus. . Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan para ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam. Sesiapa sahaja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar bahkan ada yang lebih dangkal lagi mengatakan seseorang itu telah sesat dan kafir.


Apabila kenyataan seperti ini keluar dari mulut seseorang maka telah terbukti kecetekkan mereka di dalam memahami perbahasan para ulama muktabar. Mereka membayangkan bahawa para ulama mazhab terdahulu telah mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas-nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Penyakit seperti ini berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (anti mazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab. Sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah yang tidak diketahui kepada para ulama sesuatu yang diajar oleh agama Islam itu sendiri.


Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: Ayat 43).


Berkata Imam Syatibi:


Fatwa-fatwa para mujtahid itu bagi orang awam bagaikan dalil syariat bagi para mujtahid. Adapun alasannya ialah ada atau tidak adanya dalil bagi orang yang bertaqlid adalah sama sahaja kerena mereka sedikitpun tidak mampu mengambil faedah daripadanya. Jadi masalah meneliti dalil dan istinbath (mengeluarkan hukum) bukanlah urusan mereka dan mereka tidak diperkenankan untuk melakukan hal tersebut.
(Kitab: al-Muwafaqat).


Salah seorang ulama Islam masa kini iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut menulis sebuah kitab bertajuk alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah (kitab ini ada diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu) membicarakan perihal alLa Mazhabiyyah ini secara khusus. Selain daripada Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti, masih ramai lagi ulama yang bangkit menjelaskan perkara ini melalui tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah mereka supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan ini. Pujian dan sokongan juga mesti diberikan terhadap pihak mufti-mufti negeri dan alim ulama tempatan yang sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat awam berkenaan bahayanya fahaman alLa Mazhabiyyah.


Berkata Imam Ghazali:
Bagi golongan awam adalah wajib bagi mereka meminta pendapat dan mengikut (bertaqlid) dengan ulama.
(Kitab: al-Mustasfa).


Jika mereka mendakwa dan mendabik dada dengan dakwaan mereka hendak mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja maka ketahuilah bahawa para ulama muktabar terdahulu beribu-ribu kali ganda lebih memahami dan mengenali sesuatu dalil itu sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kenyataan seperti ni seringkali kita dengari dari lidah-lidah mereka yang tidak memahami kedudukan khilaf mazhab di dalam Islam lantas memperkecilkan dan merendah-rendahkan para ulama muktabar terdahulu dengan anggapan para ulama terdahulu mengeluarkan hukum tanpa disandarkan secara tepat kepada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Mereka merasakan diri mereka terlalu hebat berbanding para ulama muktabar sedangkan asal mereka juga tidak terlepas daripada mengambil ilmu agama dari lidah-lidah dan kitab-kitab para ulama tersebut. Kita katakan kepada golongan ini: Benar, kami juga mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. secara bersungguh-sungguh, akan tetapi ikutan kami dengan kefahaman dan penerangan daripada para ulama muktabar!


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil ilmu (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.
(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).


Mereka hanya berpegang dan menganggap bahawa pendapat mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil-dalil maksum. Golongan ini turut merasakan mereka sahajalah yang mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. yang merupakan sumber utama untuk mengeluarkan hukum lantas mengatakan sesiapa yang tidak mengikut pendapat mereka adalah jumud, tidak tajdid, tidak ilmiah dan tidak memahami dalil-dalil. Adakah mereka juga maksum sepertimana Rasulullah S.A.W.?


Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Ya, benar kalian berpegang dengan nas maksum yang diwahyukan dari Allah Taala tetapi kefahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas sahaja.
(Kitab: Kaifa Nataamalu Maa Turath).


Mendakwa boleh berijtihad oleh seseorang yang tidak berkelayakkan merupakan seburuk-buruk perkara dan kerosakkan yang paling merbahaya mengancam syariat Islam pada masa kini. Golongan ini menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahidin bahkan menganggap imam-imam tersebut sebagai penyekat dan penentang syariat Islam. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan mereka sendiri. Golongan ini merupakan pendukung slogan-slogan tertentu dengan selalu mengajak kepada perbahasan, perdebatan, pengkajian semula untuk menyokong pendapat mereka sendiri yang mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram. Masyarakat yang harmoni pada suatu ketika dahulu menjadi riuh rendah dan kacau-bilau pada hari ini dengan isu-isu yang mereka bawakan ini.


Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:


Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd).


Kata-kata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi ini sememangnya benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Kita berani mengatakan jikalau kita bertanya kepada golongan ini, berapa banyakkah ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. yang mampu mereka hafal dan fahami, kita yakin jawapan mereka ialah amat sedikit hafalan dan fahaman mereka walaupun telah memiliki segulung Phd. Ini belum ditanya lagi berapa banyakkah ilmu agama yang mereka pelajari dan fahami daripada para ulama serta pelbagai persoalan lain lagi. Bagaimanakah mereka boleh mendakwa mereka begitu memahami Islam dan mengatakan pendapat mereka sahajalah yang benar sedangkan ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. belum mampu mereka kuasai sepenuhnya? Sedangkan para ulama muktabar yang telah memahami dan menguasai segala ilmu tidak merasa diri hebat bahkan merekalah yang paling merendah diri kerana takutkan Allah Taala.


Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.
(Surah Faathir: Ayat 28).


Adalah menjadi satu kesilapan besar apabila mencari hukum-hakam agama di dalam kitab-kitab matan hadis secara mentah. Seseorang yang hanya mengetahui nas-nas hadis tidak boleh berijtihad sendiriran tanpa bantuan ahli fiqh yang mahir. Sedangkan ahli fiqh ini pula terdiri daripada golongan yang mesti menguasai ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. sebelum mereka layak untuk mengeluarkan hukum-hakam. Golongan yang menegah orang lain daripada mengikut mazhab dan ulama muktabar adalah pencetus kepada tertubuhnya sebuah lagi mazhab yang baru. Mazhab ini adalah mazhab yang kelima tajaan mereka diri sendiri.


Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Ada golongan yang memerangi konsep bermazhab, memerangi mazhab fiqh dengan melarang walaupun daripada golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka maka jadilah mazhab yang kelima!
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min Murahaqah Ila al-Rusyd).


Namun Islam tidak pernah menutup terus pintu ijtihad bagi sesiapa sahaja yang telah mencapai tahap ulama mujtahid dengan syarat-syarat yang amat ketat. Layakkah golongan tersebut mendakwa bahawa mereka mampu berijtihad sedangkan al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. tidak dihafal dan difahami? Jadilah kita seorang penuntut ilmu agama dengan terus-menerus belajar bersungguh-sungguh dan ikhlas. Tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hayat. Moga-moga kita turut layak untuk menjadi salah seorang ulama pada suatu hari nanti dan bukan berlagak menjadi ulama. Wallahualam.



www.buluh.iluvislam.com




Bagaimana Berhadapan Dengan Perbezaan Mazhab Feqah?


Setiap Mazhab/mujtahid benar dalam penetapan hukum

Pendapat tersebut adalah salah satu pendapat imam-imam mazhab yan empat dan ditarjihkan(dikuatkan) oleh Al Qadhi Abu Bakar, di dalam kitab karangannya al Taghrib :



“ Yang paling jelas daripada pendapat Imam Syafie dan yang paling sama dengan mazhabnya dan mazhab ulama-ulama lain ialah pendapat bahawa setiap mujtahid adalah benar”. Pendapat ini juga adalah pendapat sahabat-sahabat kami seperti Ibnu suraij, Qadhi Abu Hamid, Ad Daraki dan kebanyakan ulama-ulama syafie di Iraq.



Daripada mazhab Hanafi yang sependapat : Abu Yusuf(Yaakub b Ibrahim Al kufi, Muhammad b Al Hassan, Abdullah b Umar b Isa ad dabbusi Al Bukhari dan diriwayatkan daripada keseluruhan ulama mereka, sekiranya kamu mempersoalkan kenapa hadis Rasulullah SAW:



“Jika seorang hakim yang berijtihad benar(dalam penetapan hukumnya), maka dia akan memperolehi dua pahala, dan sekiranya dia salah, dia akan memperolehi satu pahala”.



Ertinya, hadis ini menunjukkan bahawa di kalangan para mujtahid itu ada yang benar dan ada yang tidak tepat, serta ganjaran ke atas mereka berbeza. Kalaulah semua benar, tentu tidak ada makna pembahagian(benar dan salah)di dalam hadis di atas.



Jawapanku ialah, yang dimaksudkan dengan hadis itu pada sabda ‘Faaqata’ ialah tidak menepati hukum yang lebih afdhal atau yang lebih utama. Sepertimana yang terjadi pada para sahabat r.a. yang menerima teguran daripada Allah SWT kerana menjatuhkan hukuman tebusan terhadap para tawanan Badar, bukan kerana hukuman itu salah, tetapi kerana ia bukan hukuman yang terbaik.


Al Khatib Al Baghdadi meriwayatkan melalui jalan Ismail b Al Majalid katanya :

“Harun Ar Rasyid berkata kepada Imam Malik bin Anas: Wahai abu Abdillah, kami akan tulis beberapa naskah kitab ini dan kami akan tebarkannya di segenap pelusuk wilayah Islam, supaya kami memaksa umat (menerimanya sebagai pegangan dan panduan).


Jawab Imam Malik:


“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya perselisihan di kalangan ulama adalah rahmat Allah untuk umat ini. Setiap orang mengikut apa yang jelas di sisinya. Kesemua di atas petunjuk dan dikehendaki Allah”


Daripada As Sya’bi bahawa Rasulullah SAW pernah menjalankan satu hukuman tetapi selepas itu Al-Quran turun menyalahi apa yang baginda telah jalankan hukuman itu. Baginda terus menerima hukum Al-quran itu tanpa menafikan atau menarik balik hukumannya yang terdahulu.
(Al Madkhal - Imam Al Baihaqi )


Khilaf/perselisihan pendapat di dalam masalah feqah merupakan perkara biasa, masing-masing beramal mengikut apa yang jelas bagi mazhab masing-masing secara umum. Namun kadang-kadang amalan berubah mengikut fatwa ulama kerana tuntunan keadaan, masa dan situasi yang dituntut mengikut keupayaan yang menjadi rahmat dan kemudahan kepada umat Islam .



Hukum Berpindah dari satu Mazhab ke mazhab Yang Lain



1. Haram – Bagi mereka yang tidak pernah mendalami ilmu feqah, dia tidaklah memahami sesuatu mazhab melainkan setakat tahu namanya sahaja samada Syafie,Hanafi dan sebagainya. Mereka ini dikategori sebagai orang awam. Bagi mereka yang pernah mendalami feqah mazhab dan ia menukar mazhab kerana tujuan keduniaan juga hukumnya haram.
Kerana ia seolah-olah mempermainkan hukum-hukum syariat.



2. Harus malah boleh jatuh pada hukum wajib – An Nawawi di dalam Ar Raudah menyebutkan si muqallid mesti(wajib) berusaha mencari mazhab yang lebih mantap ilmunya dan dia lebih yakin bahawa mazhab yang kedua lebih mantap, memang patut diletakkan pada hukum Harus malah boleh jatuh pada hukum wajib. Jika si muqallid boleh memilih(terpulang kepada muqallid) maka hukumnya tetap harus.


Ringkasan petikan :

Rahmat Allah di sebalik perbezaan Mazhab

Al Hafiz imam Jalaluddin As sayuti

Terjemahan : Ustaz Muhammad Fadli Ismail

Jahabersaa; 1996

Sunday, April 25, 2010




Rahmat Disebalik Perbezaan Mazhab Feqah...?




Firman Allah dalam ayat berikut:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (١١٩)


Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu. Tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk itulah Allah menciptakan manusia. ( Hud 11:118-119.)
Ketika Rasulullah SAW masih hidup lagi telah berlaku perselisihan pendapat di kalangan para sahabat iaitu peristiwa ketika mana Rasulullah SAW mengirimkan tentera untuk menyerang Bani Quraizah, Baginda berpesan:


“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia bersolat Asar melainkan apabila sampai di kawasan Bani Quraizah”.


Kisah perbezaan pendapat para sahabat r.a. dalam menafsirkan dan melaksanakan arahan Rasulullah SAW ini masyur di dalam kitab-kitab hadis, perbezaan pendapat tersebut iaitu ada yang solat asar sebelum sampai di kawasan Bani Quraizah kerana sudah masuk waktu asar manakala sahabat lain menunaikan solat asar apabila sampai di kawasan Bani Quraizah sepertimana pesanan Rasulullah SAW walaupun hampir luput waktu asar. Kedua-dua ijtihad para sahabat yang berbeza itu tetap diakui kebenarannya oleh Rasulullah SAW. Begitu juga berkenaan perselisihan terhadap tawanan perang badar dan sebagainya.


Demikian juga selepas wafat baginda SAW, para sahabat Baginda SAW berselisih pendapat pada persoalan-persoalan furu’iyah. Tetapi perselisihan itu tidaklah membawa perpecahan hati, mengutuk, bermusuhan atau salah menyalahkan antara satu sama lain.


Pada zaman tabii’n Imam Az Zahabi menceritakan dalam kitabnya daripada Yunus As Sadafi katanya:
“ Aku belum pernah melihat orang yang berakal tinggi lebih dari Imam Syafie. Aku pernah bermujadalah dengannya mengenai satu masalah, kemudian kamipun berpisah dan tak lama selepas itu kami bertemu semula, lalu dia memegang tanganku, seraya berkata : “ Kita tetap bersaudara mara, walaupun kita tidak bersetuju di dalam sesuatu masalah”.


Imam Ahmad bin Hanbal pernah berselisih pendapat dengan gurunya, Ishak b. Rahawaih, namun sedikitpun tidak menghalangnya daripada memuliakan dan menghormati gurunya itu.
Khilaf/perselisihan pendapat di dalam masalah feqah merupakan perkara biasa kerana tuntunan keadaan, masa dan situasi yang dituntut mengikut keupayaan yang menjadi rahmat dan kemudahan kepada umat Islam.


Daripada Ibn Abbas r.a. katanya : “ Bersabda Rasulullah SAW:


“Apa sahaja yang didatangkan kepada kamu daripada kitab Allah(Al-Quran), maka beramal dengannya wajib, tidak ada keuzuran bagi seseorang untuk meninggalkannya. Sekiranya tidak terdapat di dalam kitab Allah(Al-Quran), maka hendaklah beramal dengan sunnahku, Sekiranya tidak terdapat di dalam sunnahku, maka hendaklah kamu berpegang dengan pandangan(ijtihad) para sahabatku. Sesungguhnya para sahabatku umpama bintang-bintang di langit, mana-mana sahaja kamu ambil (untuk dijadikan pedoman), kamu akan dapat petunjuk dan perselisihan sahabatku adalah rahmat bagi kamu”.
(Imam Al-Baihaqi: Sunan Kubra),


Abu Nuai’m, di dalam kitab hilyatul auliya’daripada Abdullah b Abdul Hakam katanya: Aku pernah mendengar Imam Malik b Anas berkata:

“ Harun Ar Rasyid pernah berbincang denganku untuk menggantungkan kitab Al Muwattha’ di kaabah dan memaksa manusia menerima isi kandungannya”. Maka aku memprotes: “Jangan buat begitu, sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW telah berselisih pendapat dan mereka bertebaran di merata negeri. Setiap mereka adalah benar”. Maka berkata Harun Ar Rasyid: “ Semoga Allah sentiasa memberi taufik kepadamu, wahai Abi Abdillah”.

Juga Ibnu Saad meriwayatkan dariapada Al Waqidi melalui kitab Tabaqat Kubra memberi maksud yang sama sepertimana di atas iaitu permintaan khalifah Al Mansur terhadap Imam Malik B Anas.

Allah SWT berfirman :

“Allah SWT menghendaki untuk kamu kemudahan”. (Al Baqarah: 185)


“Allah SWT tidak menjadikan kesusahan ke atas kamu dalam agama”. ( Al Haj: 78)


Rasulullah SAW bersabda :

“ Aku diutuskan dengan membawa agama yang mudah lagi bertolak ansur”.




Ringkasan petikan :
Rahmat Allah di sebalik perbezaan Mazhab
Al Hafiz imam Jalaluddin As sayuti
Terjemahan : Ustaz Muhammad Fadli Ismail
Jahabersa; 1996

Saturday, April 24, 2010










Sebatian Kevlar dalam susu kambing bagi tujuan pembuatan baju kalis peluru, perubatan dan lain-lain?


Persoalan pertama benarkah sebatian Kevlar wujud di dalam susu kambing. Jawapannya tidak, oleh itu bagaimanakah untuk merealisasikan tujuan tersebut?

Saintis telah mengenalpasti bahawa sebatian Kevlar boleh didapati daripada sarang labah-labah. Sebelum ini saintis telah lama mengkaji sutera labah-labah untuk tujuan komersial yang dihasilkan daripada labah-labah, namun menemui kegagalan kerana kesukaran untuk membiakkannya. Bagi tujuan tersebut saintis Barat telah menemui cara penghasilan sebatian Kevlar dalam susu kambing, iaitu melalui teknik penyuntikan gen labah-labah ke dalam embrio kambing bagi membolehkan kambing menghasilkan susu yang mengandungi sutera labah-labah yang boleh dipintal menjadi bahan yang dikenali biosteel.

Struktur kimia Sebatian Kevlar ditunjukkan dibawah;
















Gambar di atas :Monomer-Monomer membentuk Polimer : Kevlar



Para saintis di Nexia Biotechnology Inc. di Kanada berjaya menghasilkan sutera labah-labah daripada susu kambing untuk tujuan komersial tersebut.

Penemuan ini telah dilakukan semenjak tahun 1998 hingga sekarang.. Biosteel ini kekuatannya adalah lebih kuat daripada besi.

Ahli fizik menganggarkan sutera labah-labah yang mempunyai ketebalan sebatang pen mampu menahan kapal terbang Boeing 747 yang sedang bergerak pada kelajuan 1,080 km/jam. Ini perumpamaan yang menunjukkan kekuatan yang dimiliki sutera labah-labah.

Antara lain ciri-ciri biosteel adalah:

1. 5 kali lebih kuat daripada besi
2. Boleh diregang sehingga 40 % tanpa putus atau kehilangan integrity struktur
3. Tidak kering atau rapuh di makan masa
4. Imun dari kerosakan yang disebabkan oleh mikrob atau fungal
5. Kalis air, tidak berkarat atau reput
6. Jauh lebih ringan daripada besi
7. Sesuai dengan tubuh badan mannusia

Bagi aplikasi perubatan biosteel memberi manfaat besar bagi menggantikan besi dalam pembuatan injap jantung, prostesis lutut dan pinggul, kerana besi memberi kesan sampingan kepada kesihatan tubuh badan manusia.


Rujukan:

1.Majalah Melinia Muslim, April 2010
2.http://en.wikipedia.org/wiki/File:Kevlar_chemical_synthesis.png
3.http://en.wikipedia.org/wiki/BioSteel

Bersalaman Selepas Solat:



Bersalaman Selepas Solat:

Soalan :

Apakah hukum bersalaman sesama muslim selepas selesai solat?


Jawapan

Kata imam An-Nawawi r.a.,

“Ketahuilah bahawa ia adalah sunat yang telah disepakati oleh ulama-ketika bertemu”.

(Fathul Bari: alHafiz Ibn Hajar, juz.11:55 naqal qoul an-Nawawi)


Kata Ibn Batthal:

“ Asal bersalaman itu adalah merupakan kebaikan di sisi keseluruhan ulama”

(Fathul Bari: alHafiz Ibn Hajar, juz.11:55 naqal qoul an-Nawawi dan pengarang Tuhfah al Ahwazi,juz 7 m/s 426)


Diriwayatkan daripada Qatadah beliau berkata: aku pernah bertanya kepada saidina Anas r.a. :

“Adakah wujud amalan bersalaman di antara para sahabat nabi SAW?

Beliau menjawab ya”.

(Sahih Imam Bukhari : juz 5m/s 2311& Sahih Ibn Hibban : juz 2 m/s 245)


Imam Nawawi r.a. telah memperincikan tentang permasalahan ini dengan katanya:

“Sekiranya orang yang bersalaman itu bersalam sebelum solat, maka bersalam itu adalah sunat. Sekiranya dia bersalam sebelum solat kemudian bersalam selepas solat-maka bersalaman yang kedua itu adalah mubah(harus)

(Al-majmu’: Imam Nawawi: Juz 3 m/s 469-470)


Kata al-Hashkafi: Pengarang al-Tamartasyi telah memutlakan hukum ini mengikut sebagaimana pendapat kitab-kitab Ad-Durar, al-Kanz, al-Wiqayah,an-niqayah, al-Mujma’, al Muntaqadan lain-lain. Kesemuanya menyatakan harus bersalaman secara mutlaq sekalipun selepas solat asar. Dan kata mereka; perbuatan itu adalah bid’ah – bid’ah yang harus dan baik sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi r.a. di dalam Azkar beliau.”

(ad-Durr Al-Mukhtar oleh Hashkafi dicetak di tepi Hasyiah Ibn abiding; juz 6, m/s380)


Para ulama mengatakan bahawa bersalaman selepas solat itu adalah sunat secara mutlaq.

At-Thabari berasa tenang dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Bukhari daripada Juhaifah r.a. beliau berkata:

“Rasulullah SAW telah keluar dari al-Hajirah ke Batha’ lalu berwudhu’ kemudian Baginda SAW menunaikan solat zohor 2 rakaat dan solat asar 2 rakaat. Dihadapan baginda SAW terdapat seekor kambing betina. Di belakang kambing tersebut, lalulah seorang wanita. Orang ramai berdiri sambil bersalaman dengan Baginda SAW sambil meletakkan tangan Baginda ke wajah-wajah mereka. Kata Abu Juhaifah: Daku juga bersalaman dengan Baginda SAW dan meletakkan tangan Baginda ke wajahku (mencium tangan Baginda SAW) Tangan Baginda SAW lebih sejuk daripada salji dan lebih wangi daripada kasturi”.

(Sahih Imam Bukhari: juz 3 m/s 1304)


Kata Imam Nawawi r.a.:

“Adapun bersalaman yang telah menjadi adat ini yang dilakukan selepas solat Subuh dan Asar – sesungguhnya telah menyebutkan oleh syeikh Imam Abu Muhammad bin Abdus Salam r.a.; ia adalah bid’ah yang mubah, tidak boleh disifatkan dengan makruh ataupun sunat. Apa yang dinyatakan beliau ini adalah baik dan tetap sekiranya seseorang itu bersalaman dengan orang yang tidak bersamanya sebelum solat –maka hukumnya adalah sunat kerana bersalaman ketika berjumpa itu adalah sunat dengan ijma ulama berdasarkan hadis-hadis sahih berkenaan masalah ini”.

(Al-majmu’: Imam Nawawi: Juz 3 m/s 469-470)

Ringkasan/ Petikan Buku Bertajuk:

FATWA ALI JUMAAH(MUFTI REPUBLIK ARAB MESIR)

Diterjemahkan oleh:Abu al baqir ad-Dusuqi

Keterangan Yang Jitu Untuk Memperbetulkan Beberapa Fahaman Yang Keliru

KANDUNGAN yang ke 25

Penerbit: Al Baqir Enterprise