We Love Islam We Love The Truth

Wednesday, July 28, 2010

Kisah al-Hafiz Ibnu Hajar Dengan Seorang Yahudi Berkenaan Hadis, “Dunia Adalah Penjara Bagi Orang Beriman Dan Syurga Bagi Orang Kafir”.

Diceritakan bahawa pada suatu hari al-Hafiz Ibnu Hajar melewati sebuah pasar dengan rombongan besar dan keadaan yang bagus, lalu seorang yahudi penjual minyak biji rami datang menyerangnya, pakaiannya berlumuran minyak, dia sangat kotor dan buruk. Kemudian dia menangkap Ibnu Hajar lalu berkata: “Wahai Syeikh Islam! Bagaimana pendapatmu tentang sabda Nabi kamu yang mengatakan: “Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir”. (HR Muslim dan Tirmizi)

Penjara apakah yang engkau dapatkan dan syurga apakah yang saya peroleh? Al Hafiz Ibnu Hajar berkata “ Bagi saya berdasarkan kenikmatan(perbandingan) yang dijanjikan di akhirat, seolah – olah saya sekarang dalam penjara. Bagi anda berdasarkan azab(perbandingan) yang sangat pedih yang dijanjikan Allah di akhirat, seolah-olah engkau sekarang berada di dalam syurga”. Orang Yahudi itupun masuk Islam.


Rujukan/Petikan:

Mutiara Tauhid Asas Akidah; Pustaka Al-Shafa; 2009

Tuesday, July 20, 2010

Adab-Adab Berbeza Pendapat (Khilaf)

Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab

PENGENALAN

Apabila kita membicarakan perihal adab-adab dan akhlak maka persoalan ini sudah pastilah mempunyai kaitan khusus dengan perbincangan ilmu Tasawuf. Ilmu Tasawuf pula adalah sebahagian daripada ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh setiap umat Islam selain daripada ilmu Akidah dan Fiqh. Tidak lengkap rasanya jika perbahasan hukum-hakam tidak diselitkan bersama dengan unsur-unsur ilmu Tasawuf. Ini kerana ilmu Tasawuf bertindak menjaga kesucian dan ketenangan hati dan kemudian diterjemahkan melalui perbuatan zahir yang diambil kira berdasarkan ilmu Fiqh. Barangsiapa yang hanya mempelajari ilmu Fiqh dan Akidah tanpa mempelajari dan menghayati ilmu Tasawuf maka sesungguhnya mereka sengaja menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Berkata Imam Junaid:

Tasawuf adalah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi dikeji.

(Kitab: al-Nusrah al-Nabawiyyah).

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan soal akhlak dan adab-adab bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat. Adab-adab yang diajar oleh Islam ini merangkumi segala aspek samada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Perutusan Rasulullah S.A.W. kepada manusia juga di antara lainnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik lagi terpuji kepada seluruh alam.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak (manusia).

(Riwayat Baihaqi).

Amat malang sekali apa yang berlaku pada dewasa ini, sebilangan umat Islam meninggalkan dan tidak mengambil berat adab-adab Islam lantas berlakulah perbalahan yang tidak menguntungkan umat Islam. Bahkan ada sebilangan umat Islam yang sengaja menolak dan tidak mahu langsung mengambil manfaat daripadanya sedangkan mereka ini daripada kalangan orang-orang yang mengetahui. Apa yang lebih menyedihkan lagi, mereka juga melarang orang lain daripada melakukan dan beramal dengan adab-adab Islam sedangkan mereka juga mengetahui kelebihan dan kebaikkannya.

Sebilangan daripada Salaf berkata:

Dengan mempelajari satu bab daripada adab (akhlak) lebih disukai disisiku daripada mempelajari tujuh puluh bab daripada bab-bab ilmu.

(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Pada tulisan yang lalu, saya telah menjelaskan secara ringkas perihal kesibukkan sebilangan umat Islam pada masa kini dengan isu-isu khilafiyyah sedangkan pelbagai lagi persoalan yang lebih besar perlu diutamakan. InsyaAllah, pada tulisan kali ini, saya cuba pula menjelaskan perihal adab-adab serta sebab-sebab berlakunya perselisihan pendapat (khilaf) di kalangan para ulama. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

SEBAB-SEBAB BERLAKU KHILAF

Sebelum saya bincangkan adab-adab berbeza pendapat secara panjang lebar, adalah lebih baik di sini saya nyatakan dahulu secara ringkas beberapa perkara yang boleh menyebabkan berlakunya khilaf di kalangan para ulama. Berikut disebutkan tujuh sebab kenapakah berlakunya khilaf sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di dalam kertas kerjanya bertajuk Perbezaan Pendapat di Kalangan Mazhab :

- Perbezaan Fahaman Dan Akalan Serta Kemampuan Dalam Menghasilkan Ilmu.

- Perbezaan Dalam Penguasaan Ilmu.

- Perbezaan Dalam Penguasaan Ilmu Bahasa Arab.


- Khilaf Dalam Masalah Berhujah Dengan Sumber-Sumber Fiqh.

- Khilaf Pada Kaedah-Kaedah Usuliyyah.

- Khilaf Tentang Qiraat Dalam al-Quran al-Karim.


- Khilaf Dengan Sebab Bertentangan Dalil-Dalil.

ADAB-ADAB MENGHADAPI KHILAF

Islam amat menyeru umatnya supaya mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan dan diterangkan oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. melalui lidah-lidah para ulama. Adab-adab tersebut untuk memastikan agar kehidupan manusia berada di dalam keadaan aman dan harmoni. Semua adab-adab adalah untuk mencantikkan segala amalan yang ingin dilakukan manusia. Setiap amalan akan lebih bermakna sekiranya dihiasi dengan adab-adab yang indah. Berikut di antara kata-kata ulama yang boleh kita jadikan teladan:

Berkata Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah:

Imam Qurafi berkata di dalam kitabnya al-Furuq: Ketahuilah sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan.

(Kitab: Min Adab al-Islam).

Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Fathi:

Ibnu Mubarak berkata: Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu.

(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Imam Nawawi:

Imam Shafie berkata: Sesiapa yang ingin dibukakan hatinya oleh Allah Taala maka hendaklah ia berkhalwat, sedikit makan, manjauhi daripada bergaul dengan orang bodoh dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan orang yang berilmu.

(Kitab: al-Majmuk Syarah Muhazzab).

Memandangkan betapa pentingnya akhlak dan adab di dalam Islam, maka di sini saya senaraikan beberapa adab-adab (sebenarnya banyak lagi) yang perlu ada di kalangan umat Islam hari ini bagi menghadapi isu-isu khilaf. Jika kita dapat menjaga adab-adab ini, insyaAllah segala isu khilaf ini dapat ditangani dengan baik dan harmoni. Berikut di antara adab-adab berbeza pendapat:

Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah S.A.W. Sebagai Panduan

Berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan perkara yang diperselisihkan kepada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. adalah sebaik-baik perkara yang perlu diberikan perhatian. Ini kerana al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. merupakan pegangan dan panduan utama umat Islam di dalam semua perkara. Inipati daripada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. inilah dijadikan kayu pengukur kepada sesuatu kebenaran ataupun kebatilan di dalam menghadapi perbezaan pendapat. Para ulama pula berperanan menjelaskan maksud serta bertanggungjawab memberikan kefahaman daripada dalil-dalil al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. kepada masyarakat Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah Taala dan taatlah kamu kepada Rasulullah S.A.W. dan kepada ulil amri daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantahan (berselisihan) di dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah Taala (al-Quran al-Karim) dan (as-Sunnah S.A.W.) rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah Taala dan Hari Akhirat. Demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah an-Nisa: Ayat 59).

Ikhlas

Berkata Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi:

Ikhlas ialah mengesakan al-Haq Allah Taala di dalam ketaatan beserta niat. Apa yang dikehendaki dengan ketaatan kepada Allah Taala ialah taqarrub kepadaNya tanpa sebarang benda lain seperti sifat menunjuk-nunjuk kepada makhluk, untuk mendapat pujian manusia, suka kepada pujian makhluk atau apa sahaja maksud yang selain taqarrub kepada Allah Taala.

(Kitab: al-Risalah al-Qusyairiyah).

Perbicaraan persoalan ikhlas ini sudah pastilah berkaitan rapat dengan perbahasan niat di dalam hati.Imam Nawawi meletakkan persoalan dan penjelasan niat (hadis riwayat Bukhari dan Muslim) pada permulaan bab kitabnya al-Arbain al-Nawawiyah yang menunjukkan betapa pentingnya niat di sisi Islam. Rasulullah S.A.W. juga telah mengingatkan kita betapa pentingnya menjaga hati beserta niat apabila kita terlibat secara langsung di dalam perbahasan khilaf ini.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Barangsiapa yang mencari ilmu untuk menandingi ulama atau mengalahkan orang-orang yang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan oleh Allah Taala ke dalam api neraka.

(Riwayat Tarmizi).

Mungkin ada di kalangan kita sengaja membangkitkan isu-isu khilafiyyah hanyalah bertujuan untuk bersaing dan menandingi dengan para ulama terdahulu dan masa kini di pentas masyarakat awam. Mungkin juga dengan tindakan itu mereka boleh dilihat sebagai seorang yang hebat ilmunya berbanding dengan orang lain sekaligus dapat mencuri tumpuan dan perhatian media massa dan orang ramai kepada kata-katanya. Jika inilah tujuan perdebatan dan perbahasannya maka begitu jugalah habuan dunia bakal diperolehi mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada tubuh badanmu dan tidak pula kepada rupa parasmu akan tetapi Dia melihat kepada hatimu.

(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sekecil manapun sifat riyak itu adalah kemusyrikan.

(Riwayat al-Hakim).

Tawadhuk

Tawadhuk di dalam topik ini boleh diertikan sebagai menyerah diri kepada kebenaran dan meninggalkan perbalahan yang tidak berkesudahan tentang sesuatu hukum-hakam itu. Setiap manusia perlu merasa rendah diri kerana sedar akan hakikat kelemahan dan kekurangan hamba yang tidak layak sama sekali bersifat angkuh dan bongkak. Sifat ini hanyalah layak bagi Allah Taala sahaja. Adapun tawadhuk adalah lawan kepada sifat takabbur.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya setitik zarah takabbur.

(Riwayat Muslim dan Tarmizi).

Kita perlu menjaga dan mengelakkan diri dari bersikap takabbur dan angkuh terutamanya ketika berhadapan dengan isu-isu khilaf para ulama. Memandang orang lain dengan sebelah mata lantaran merasakan diri begitu hebat adalah di antara alamat takabbur. Rendahkanlah diri terlebih dahulu sebelum terlibat dengan segala perbahasan khilaf.

Di dalam kitab Rasail al-Aimmah al-Salaf Wa Adabihim al-Ilmi karangan Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah telah menukilkan satu kisah berkenaan Imam Ubaidillah al-Hassan al-Anbari yang ditegur (untuk membetulkan kesilapannya) oleh seorang muridnya. Setelah membetulkan kesilapannya maka Imam Ubaidillah berkata:

Jika aku membetulkan kesalahanku, aku akan kelihatan lekeh. Namun aku lebih rela kelihatan berdosa di dalam perkara yang hak (benar) berbanding berkeras kepala mempertahankan pandanganku walaupun aku telah mengetahui itu adalah batil (salah).

Meninggalkan Taasub

Meninggalkan taasub di sini bermaksud meninggalkan taasub pendapat sendiri, mazhab dan golongan serta tokoh tertentu sahaja tanpa diperhatikan pendapat dan pandangan orang lain. Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qarahawi telah menjelaskan di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum:

Seseorang harus melepaskan dirinya daripada taasub terhadap pendapatnya sendiri. Ini disebabkan orang yang tidak dapat melepaskan diri daripada taasub ini akan sentiasa mempertahankan pendapatnya sendiri walaupun dia mengetahui pendapatnya salah dan lemah penjelasannya. Ia hanyalah ingin memenangkan hawa nafsunya, memandang rendah pendapat orang lain dan takut dituduh kurang kefahaman.

Sebagai seorang umat Islam yang tidak mampu untuk berijtihad maka selayaknyalah kita mengikut mana-mana pandangan dan ijtihad daripada imam-imam mazhab. Mazhab ini sebagai salah satu jalan keluar bagi golongan awam beramal dengan syariat Islam secara lebih berkesan. Namun terdapat segelintir umat Islam terutamanya masyarakat awam yang begitu taasub dengan mazhabnya lantas menyalahkan mazhab lain yang tidak secocok dengan mazhabnya. Ini merupakan satu fanomena tidak sihat yang perlu diberikan perhatian oleh setiap alim ulama setempat.

Terdapat juga segelintir dari kalangan umat Islam yang begitu taasub dengan golongan dan tokoh tertentu lantas bertindak merendah-rendah dan memperlekehkan pandangan dan pendapat lain yang tidak sealiran dengan pendapat golongan dan tokoh mereka. Jika masalah ini tidak ditangani dengan bijaksana dan adab-adab maka sudah pastilah akan berlaku perbalahan dan pergaduhan yang tidak mendatangkan nilai tambah kepada Islam. Mereka mengajak orang lain untuk tidak taasub dengan pandangan tokoh lain, namun di dalam masa yang sama mereka tidak melarang orang lain untuk bertaasub kepada mereka. Jadilah mereka juga seorang taasub!

Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi:

Anehnya mereka mengecam para pengikut mazhab kerana bertaklid kepada para imamnya sementara mereka sendiri menuntut semua orang agar bertaklid dan mengikut mereka.

(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum).

Berlapang Dada

Berlapang dada telah menjadi amalan di kalangan para ulama Salaf ketika berhadapan dengan khilaf sesama mereka. Walaupun terdapat banyak percanggahan pandangan, namun mereka tetap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain dan tidak menyebabkan ikatan perpaduan terlerai. Mereka mempunyai nilai akhlak dan adab yang tinggi selaras dengan tuntutan mendalami ilmu Tasawuf.

Berkata Syeikh Muhammad Awwamah di antara pendirian para ulama ialah:

Mazhab kami betul yang berkemungkinan ada salahnya dan mazhab selain kami salah yang kemungkinan ada betulnya.

(Kitab: Adab al-Ikhtilaf).

Berkata Imam Ahmad ketikamana ditanyakan perihal Imam Ishak:

Tidak dapat tergambar bagaimana di bumi Khurasan ini terdapat seorang tokoh seperti Ishak walaupun dia telah bersalahan pendapat dengan kami di dalam beberapa perkara. Sesungguhnya manusia sentiasa berselisih pendapat sesama mereka.

(Kitab: Risalah al-Ulfah baina al-Muslimin).

Jika diperhatikan dua contoh di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa betapa indahnya akhlak dan adab para ulama yang ditunjukkan oleh mereka kepada kita ketikamana menghadapi perbahasan khilaf ini. Namun pada masa kini terdapat sesetengah golongan yang gagal mengamalkan konsep berlapang dada lantas berasa sangat taajub dengan pandangan dan pendapat sendiri. Mereka mungkin berpegang dan beranggapan bahawa pandangan mereka sahaja sentiasa betul dan benar yang tidak mungkin salah dan pandangan orang lain sentiasa salah yang tidak mungkin ada benarnya. Bahkan mereka terlalu melampau dengan melemparkan pelbagai perkataan seperti bidaah, khurafat, sesat, kafir dan sebaginya lagi walaupun di dalam isu-isu khilafiyyah. Mereka juga tidak meraikan keadaan semasa dan setempat (Fiqh Waqi)!

Berprasangka Baik

Di antara akhlak asas yang penting di dalam pergaulan dan perhubungan sesama umat Islam ialah berprasangka baik kepada orang lain disertakan dengan tidak boleh didasari prinsip suka memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Islam melarang kita memuji-muji diri sendiri dikuatiri mendatangkan perasaan riyak dan takabbur dengan pandangan dan pendapat sendiri.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian di dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

(Surah an-Najm: Ayat 32).

Prasangka buruk merupakan perangai jahat yang dikecam oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. dan merupakan tegahan kepada umat Islam. Pada dasarnya kita haruslah menempatkan seseorang Islam itu sebagai orang yang soleh lagi baik dan tidak berprasangka buruk kepadanya kecuali dengan kebaikkan sahaja. Walaupun nampak sedikit kelemahannya, demi untuk memenangkan kebaikkan di atas keburukan, maka selalulah beranggapan baik sesama Islam. Sikap dan akhlak ini lebih-lebih dituntut jika berhadapan dengan khilaf dan kesalahan ijtihad para ulama.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

(Surah al-Hujuraat: Ayat 12).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Jauhilah prasangka (buruk) kerana sesugguhnya prasangka (buruk) itu merupakan percakapan yang paling dusta.

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam perbahasan dan perbincangan perkara-perkara khilaf, anggaplah pendapat orang lain juga turut melalui analisis dan kajian yang mendalam dan mempunyai dalil-dalil yang boleh disabitkan walaupun kita tidak pernah menjumpainya. Berbaik sangka dengan menganggap kefahaman mereka berdasarkan disiplin ilmu dan kaedah-kaedah yang betul dan mempunyai niat ikhlas sepertimana kita juga. Jangan sesekali memperlekeh atau menghina pendapat ulama lain dengan sengaja menimbulkan pertikaan dan perbalahan yang tidak ada kesudahannya.

Tepislah bisikan syaitan yang menyuruh kita berburuk sangka sesama umat Islam. Peringatan ini juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius apabila berinteraksi dengan pandangan dan pendapat ulama muktabar yang lebih khusus dan tinggi kedudukannya berbanding dengan golongan awam yang bersifat umum. Peranan ulama hanyalah sebagai pewaris Rasulullah S.A.W. dan mereka benar-benar amanah di dalam mewariskan segala keilmuan mereka.

Berusaha Menyatukan Pendapat

Mencuba sedaya-upaya yang mungkin untuk mengindari permasalahan-permasalahan khilafiyyah yang boleh mendatangkan fitnah kepada golongan awam. Berpegang teguhlah dengan etika perbincangan dan hindarkan diri dari perdebatan dan perbalahan yang tidak menguntungkan Islam. Kita juga perlu berusaha untuk menyatukan pendapat yang pelbagai sekiranya ia boleh disatukan dengan didasari akhlak dan adab Islam. Ini kerana tugas menyatukan umat supaya tidak berlaku perpecahan adalah tanggungjawab bersama.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang beriman disatukan dan tiada kebaikkan bagi sesiapa yang tidak bersatu dan yang tidak disatukan.

(Riwayat Ahmad).

Memahami Konsep Perdebatan

Di dalam kitab Risalah al-Mustarsyidin menceritakan perihal seorang lelaki yang datang kepada sesetengah daripada hukamak, lelaki tersebut berkata: Aku ingin berjidal (berdebat) dengan kamu. Hukamak tersebut menjawab: Kamu boleh berdebat dengan aku sekiranya kamu menepati sepuluh syarat ini:

01. Jangan marah.

02. Tidak cuba mencari masalah.

03. Jangan kamu berbangga.

04. Jangan kamu menghukum.

05. Jangan ketawa.

06. Jangan menjadikan dakwaan kamu sebagai dalil.

07. Apabila kamu mendatangkan dalil, tujuan daripada perkara tersebut ialah untuk mencari kebenaran.

08. Apabila kamu menggunakan akal, gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu.

09. Hendaklah kamu menjadikan kebenaran itu barang yang berharga untuk umat Islam. Ambillah di mana kamu temuinya. Bukan kemenangan sebagai tujuan utama.

10. Janganlah kamu berpaling kepada orang lain kerana aku sedang bercakap dengan kamu.

BEBERAPA PENGAJARAN PENTING

Berikut saya bawakan beberapa contoh akhlak dan adab-adab yang ditunjukkan oleh para ulama ketikama berinteraksi dengan perkara khilafiyyah:

Kisah Imam Shafie

Kisah ini dinukilkan oleh Imam Syarani yang telah menceritakan bahawa Imam Shafie tidak membaca doa qunut subuh ketika menziarahi kubur Imam Hanafi. Apabila ditanyakan kepada Imam Shafie mengapakah beliau tidak membaca doa qunut, lantas Imam Shafie menjawabnya seperti berikut:

Bagaimana aku boleh membaca qunut sedangkan tuan imam (Imam Hanafi yang menghuni kubur tersebut) tidak berpendapat sedemikian (perlu membaca qunut ketika subuh). Imam Syarani berpandangan: Sesungguhnya perbuatan tersebut adalah adab terhadap imam-imam mujtahidin, beliau beradab dengan saudaranya samalah dengan beliau beradab dengan Rasulullah S.A.W. dan pengikut syariatnya.

(Kitab: al-Mazahib al-Fiqhiyyah al-Islamiyyah Wa al-Taasub al-Mazhabi).

Kisah Imam Hanbali

Ali bin Musa al-Haddad menukilkan satu kisah berkenaan Imam Ahmad bin Hanbal katanya: Suatu hari aku bersama Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muhammad bin Qudamah ketika menghadiri upacara pengkebumian. Setelah ditanam jenazah, kami mendapati seoarang lelaki buta duduk membacakan (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur. Maka berkata Imam Ahmad kepada lelaki buta tersebut: Sesungguhnya membaca (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur adalah bidaah. Setelah kami keluar dari tanah perkuburan, berkata Imam Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad: Wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Hanbali), apa pandangan engkau tentang Mubassyir al-Halabi? Imam Ahmad menjawab: Dia seorang yang dipercayai riwayatnya. Ditanya lagi (oleh Imam Muhammad bin Qudamah): Adakah engkau pernah menulis sesuatu tentangnya? Imam Ahmad membalas: Ya. Lantas Imam Muhammad berkata: Sesungguhnya aku dikhabarkan daripada Abdul Rahman bin al-Ala bin al-Hajjaj dari bapanya bahawa Mubassyir berpesan apabila dia meninggal dunia bacalah di sisi kepalanya dengan permulaan surah al-Baqarah dan penutup surah tersebut. (Kata Imam Muhammad lagi) Ini kerana Mubassyir berkata: Aku telah mendengar Ibnu Umar berpesan sedemikian. Justeru berkata Imam Ahmad: Maka pergilah dan katakan kepada lelaki buta tadi tiada masalah untuk membaca (al-Quran al-Karim dan zikir-zikir di sisi kubur).

(Kitab: Adab al-Ikhtilafat al-Fiqhiyyah).

Kisah Imam Hassan al-Banna

Syeikh Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi ada menukilkan satu kisah di dalam kitabnya Fi al-Fiqh al-Awlawiyyat berkenaan suatu kisah yang pernah berlaku kepada as-Syahid Imam Hassan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Imam al-Banna mencatatkan dalam Muzakkiratnya tentang kisah beliau menyampaikan kuliah agama ketika beliau masih berumur dua puluhan tahun. Beliau menyampaikan kuliah tersebut antara waktu Maghrib dan Isyak di satu sudut di sebuah masjid kecil. Setelah sekian waktu, kuliah tersebut telah mendapat perhatian dan para hadirin yang hadir telah bertambah. Termasuk juga yang hadir adalah di kalangan mereka yang menyimpan sikap dan pendirian lama dalam masalah khilaf dan suka membangkitkan api perdebatan.


Sehingga pada suatu malam, Imam al-Banna merasakan terdapat satu kelainan terhadap hadirin yang hadir. Seolah-olah terdapat perbezaan kelompok di kalangan para pendengar termasuk tempat duduk mereka. Pada malam tersebut, belum sempat Imam al- Banna hendaklah memulakan kuliahnya, tiba-tiba beliau telah diajukan satu soalan berikut: Apakah pandangan ustaz tentang masalah tawassul? Maka Imam al-Banna menjawab: Wahai saudaraku, aku berpandangan engkau bukan bermaksud mahu bertanya tentang masalah ini sahaja, tetapi engkau juga mahu bertanya tentang selawat selepas azan, membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz siyadah Rasul dalam tasyahhud, bagaimana kedudukan ibu bapa Nabi SAW di akhirat, sampai atau tidak bacaan al-Quran al-Karim kepada si mati, adakah perkumpulan-perkumpulan yang dibina oleh ahli tariqat itu maksiat atau qurbah dan pelbagai masalah lagi.

Imam al-Banna sengaja menyenaraikan semua perkara-perkara khilaf tersebut yang telah menyalakan api fitnah sejak sekian lama sehingga membuatkan lelaki penyoal itu tersentak. Lalu lelaki itu menjawab: Ya, aku mahukan jawapan atas kesemua soalan itu! Lalu Imam al-Banna menjawab: Wahai saudaraku, aku bukanlah seorang alim, tetapi aku seorang guru bandar yang menghafaz sesetengah ayat al-Quran al-Karim dan sesetengah hadis Nabi S.A.W. dan mengetahui beberapa hukum-hakam agama setelah merujuk kepada kitab-kitab. Lalu aku menawarkan diri untuk mengajarkan ilmu itu kepada orang ramai. Maka sekiranya engkau bertanya kepadaku soalan yang terkeluar daripada apa yang aku ketahui maka engkau telah menyukarkan aku, sedangkan barangsiapa yang mengatakan aku tidak mengetahui dia juga telah berfatwa. Sekiranya engkau merasa puas dengan apa yang aku sampaikan, dan melihat padanya ada kebaikan, maka dengarilah ia. Sekiranya engkau ingin mengetahui lebih lanjut maka bertanyalah kepada para ulama yang pakar selainku. Mereka mampu memberi fatwa terhadap apa yang kamu mahukan. Adapun aku, maka inilah kadar ilmuku, sesungguhnya Allah Taala tidak memberatkan ke atas seseorang melainkan apa yang diusahakan.

Itulah jawapan Imam al-Banna kepada lelaki tersebut dan lelaki itu pada hakikatnya tidak mendapat apa-apa jawapan daripada al-Banna. Namun dengan ucapan Imam al-Banna itu para hadirin atau kebanyakan mereka merasa berpuas hati. Lalu dengan kesempatan yang ada Imam al-Banna meneruskan ucapannya dengan berkata: Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan Syeikh Abdul Sami?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah Taala redha kepada kita untuk berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah Taala untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesama kita untuk berbuat demikian.


KESIMPULAN

Berkata Habib bin as-Syahid kepada anaknya: Wahai anakku, berkawanlah engkau dengan fukaha (orang alim), pelajarilah daripada mereka dan ambillah adab-adab yang baik daripada mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu lebih disukai disisiku daripada banyak mempelajari hadis.

(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Saidina Ali: Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal merupakan sebaik-baik sahabt dan adab sebaik-baik peninggalan.

(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

Marilah kita bersama-sama mempelajari akhlak dan adab. Sesungguhnya akhlak dan adab ini akan menjaga diri kita daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kehancuran. Lebih-lebih lagi jika kita sangat inginkan perbahasan ilmu yang mempunyai khilaf padanya. Dengan mempelajari adab maka tenanglah hati menghadapinya.

Salah seorang hukamak berkata: Tiada kemuliaan bersama buruknya adab.

(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

Wallahualam.


http://buluh.iluvislam.com/

Saturday, July 17, 2010

Kenali Injil Barnabas Yang Hampir Selari Dengan Islam

Injil Barnabas merupakan sebuah kitab Injil versi Barnabas. Injil Barnabas tidak dianggap sebagai kanon oleh penganut Kristian. Oleh itu membaca Injil Barnabas dilarang sama sekali.

Kitab Injil Barnabas terdapat beberapa versi . Injil Barnabas dikatakan ditulis oleh St Barnabas iaitu murid Jesus. St Barnabas ialah pakcik Markus. Beliau telah merantau dari Palestin ke Damsyik dan dari Philip ke Sinai untuk mengembangkan agama Kristian. Kuburnya ditemui di pulau Cyprus di Lautan Mediterranean pada zaman Maharaja Zeno ( 478 m). Satu salinan Injil yang ditulis dengan tangannya sendiri ditemui di dada jenazah St Barnabas .

Injil ini popular di kalangan orang Islam kerana hampir sejalan dengan ajaran Islam. Tetapi Injil Barnabas hampir tidak dikatahui oleh orang Kristian kerana ia amat bertentangan dengan Triniti. Ramai orang Islam hanya pandai menyebut Injil Barnabas tetapi tidak pernah membacanya.

Injil Barnabas dikatakan ada dua manuskrip iaitu dalam bahasa Sepanyol dan dalam bahasa Itali. Injil Barnabas dalam bahasa Itali disimpulkan sebagai ditulis pada akhir abad ke-16 sementara dalam bahasa Sepanyol ditulis abad ke-18. Namun pengkaji Kristian mendakwa Injil Barnabas versi Sepanyol lebih tulen.

Ketulenan Injil Barnabas

Manuskrip Itali dan Sepanyol dilihat mempunyai gaya bahasa dan penulisan Constantinople / Istanbul kerana ada catatan kaki berbahasa Arab . Constantinople ialah nama lama bagi bandar Istanbul di Turki. . Masyarakat Constantinople mungkin berbahasa Itali dan Sepanyol. Artifak -artifak Sacromonte di Granada 1590-an dihasilkan setelah orang Islam diusir dari Sepanyol. Granada Moor jatuh ke tangan Kristian pada 1492 M. Tetapi orang Islam Mudejar dan Sephandi Yahudi masih menetap di Venezia di Kesultanan Ottoman , Turki.

Pengkaji lain mendakwa Injil Barnabas tidak ditulis di Istanbul, tetapi di Rome , Itali kerana ungkapan syahadah dalam Injil Barnabas tidak sama dengan syahadah bahasa Arab .

Dikritik oleh Pendeta Kristian

Injil Barnabas telah dikritik oleh oleh 3 dekrit berikut :

Dekrit Gelasius menyebut Evangelium Barnabas sebagai Injil yang dilarang. Injil ini kemudian ditemui dalam Perpustakaan Paus Sijtus V ( 1585 - 1590 ) dan ditemui oleh seorang pastor bernama Pra Marino atau Vra Marino. Injil Barnabas telah dipakai di Gereja sehingga ke masa Dekrit Gelasius.

Injil Barnabas telah 'disembunyikan' bersama-sama Injil-Injil yang lain yang disebut sebagai Apocrypha. Kebanyakan daripada Injil-Injil ini berjaya dimusnahkan. Sebahagian lagi hanya diketahui namanya sahaja.

Satu naskah Injil Barnabas yang berhasil lolos oleh Pastor Vra Marino yang sekarang berada di National Bibliothek, Vienna, Austria. Dari naskah yang menarik ini telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk oleh Dr Khalil Saadah.

Tiga dekrit di atas berlaku sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Nabi Muhamad dilahirkan pada 571 m.

Sarjana Kristian Mesir, Dr Khalil Saadah menyatakan Injil Barnabas yang tersimpan di Perpustakaan Vienna , Austria adalah penemuan tak ternilai dalam sejarah. Tebalnya 225 halaman.

Injil Barnabas dilihat sangat anti Triniti dan anti Paul. Sedangkan dalam Bible yang diterima pakai oleh Paus, Paul lebih penting daripada Jesus.

Kisah pastor Vra Marino dianggap sebagai cubaan mendiskredit tokoh-tokoh gereja Katolik Rome pada 1590-an. Vra Marino dianggap cuba memalukan Paus Siktus V yang menjadi ketua gereja pada tahun 1585-1590. Oleh itu Injil Barnabas dianggap sebagai hoax.

Kandungan Injil Barnabas

Paul telah menyeleweng

  • Bahawa Paul adalah orang yang sesat dan menyeleweng dari ajaran Jesus yang sebenarnya.(Lihat Barnabas Kata pendahuluan ayat 7 dan 222:3)

Saul yang bergelar Paul atau Pulus adalah seorang yang amat memusuhi agama yang diajarkan oleh Jesus dan pengikut-pengikutnya. Dia tidak pernah belajar kepada Jesus sendiri . Kemudian tiba-tiba ia mengaku bertaubat, seterusnya mengaku pula menjadi rasul Jsus. Dan akhirya oleh penganut Kristian mengakuinya juga sebagai seorang rasul Jesus yang dipenuhi Roh Kudus. Empat belas surat keterangannya dimasukkan dalam golongan kitab-kitab Perjanjian Baru dan dianggap sebagai kanon dan kitab suci. Barnabas menyatakan Paulus sebagai telah menyeludup ke dalam agama Kristian dan mengaku menjadi pengikut Jesus untuk menyelewengkan agama itu dari dalam. Barnabas menyatakan sebab dia menulis Injil Barnabas kerana faktor Paulus yang menyeleweng ini. ( Barnabas Kata Pendahuluan 1-9) ms 51

Jesus tidak mati disalib tetapi Judas Iskariot mati disalib

  • Bahawa Jesus tidak disalibkan yang disalibkan ialah Judas Iskariot.( Lihat Barnabas 112:13-16 ;215:1-6; 217:77-81)

Pasal 215,216,217 dalam Injil Barnabas menyatakan Jesus tidak mati disalib. Sebaliknya Judas Iskariot yang mati disalib.

Judas Iskariot mengetahui Jesus bersebunyi dari sebuah rumah ke sebuah kebun dan berdoa. Lantas Judas Iskariot menawarkan maklumat itu kepada Imam Besar Yahudi dengan wang 30 keping emas. Sepasukan askar dengan dipandu oleh Yudas Iskariot pergi ke kebun itu. Allah telah memerintahkan malaikat Jibril, Mikhail, Rufail dan Uril membawa Jesus ke langit. 11 orang murid Jesus sedang tidur.

Dengan takdir Allah, Judas Iskariot berubah rupa dan wajahnya menyerupai Jesus. Judas Iskariot menafikan dirinya Jesus walaupun disoal berulang-kali. Judas ditangkap oleh askar dan dibawa ke Jerusalem. 11 murid Jesus berjaya menyelamatkan diri. Judas diseksa, ditutup matanya dan hampir menjadi gila. Tetapi semua yang melihat hanya ketawa kerana menyangka Judas Iskariot buat-buat gila. Jika orang Kristian melihat pasti mereka kasihan.

Kemudian Judas diserahkan kepada Pilatus (wakil pemerintah di situ). Judas dipakaikan dengan pakaian ganjil berwarna unggu dan mahkota menyerupai raja Yahudi. Yudas dibawa ke Bukit Tengkorak dalam keadaan disalib dan bertelanjang. Yudas berteriak "Ya Allah, mengapa engkau tinggalkan aku. Orang yang bersalah terlepas sedangkan aku mati teraniaya".

Ibu Jesus dan lain-lain telah mengkebumikannya. Barnabas , Yahya, Yakub serta Maryam ibu Jesus telah pergi ke Nazareth. Beberapa orang telah menggali kubur Judas, menyembunyikan jenazah Judas dan menyebarkan berita Jesus telah bangkit sesudah mati disalib.

Kemudian Allah telah memerintahkan malaikat membawa Jesus turun ke bumi untuk menemui Maryam yang kesedihan. Jesus memerintahkan Barnabas menulis kitab Injil.

Pada hari ke-3, Jesus memerintahkan Yakub dan Yahya mengumpulkan tujuh orang muridnya termasuk Nikodimus dan Yusuf. 72 orang lain lain turut hadir untuk makan malam di Bukit Zaitun. Bukit Zaitun adalah tempat Jesus naik semula ke langit.

Jesus menghalau Paul yang mendakwa dirinya Allah atau Anak Allah

  • Bahawa Jesus dengan tegas mengengkari ketuhanannya dan mengengkari dirinya sebagai Anak Allah. ( Lihat Barnabas 52:10-14; 94:1-2 ; 112- 5 ; - 10 ; 206: 2-6)

Barnabas menulis Jesus murka kepada Paul dan menuduh Paul sebagai iblis yang berusaha membuatkan Jesus berdosa. Ini kerana Paul memanggil Jesus sebagai Allah atau Anak Allah.( Barnabas 53:6 ; 69:6 ; 70:1, 94:1)

Selaras dengan Islam

Tokoh Islam dari Mesir , Rashid Rida dan Sayyid Abul Ala Maududi dari Pakistan menggunakan Injil Barnabas untuk menerangkan tentang Jesus. Namun Injil Barnabas bukanlah Injil tulen 100 % tetapi mungkin telah ditokok dan dibuang bahagian-bahagiannya. Injil Barnabas dilihat lebih otentik berbanding Injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas dan Injil Yohanes.

Sarjana Islam berpendapat tidak mungkin Injil Barnabas dihasilkan oleh orang Islam sendiri.

  • Injil Barnabas membenarkan minum anggur ( arak ?) tetapi Islam melarang keras.
  • Barnabas menggalakkan perkahwinan monogami .Sedangkan Islam membenarkan poligami jika mampu.
  • Ucapan syahadah tidak sama dengan ucapan syahadah orang Islam berbahasa Arab masa kini.

Rujukan

  • HM Arshad Talib Lubis, Perbandingan Agama : Kristen dan Islam , Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur , 1982, hlm 369


Sumber: Antara Petikan Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Petikan Artikel Penuh:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Injil_Barnabas