We Love Islam We Love The Truth

Monday, April 26, 2010

BIOGRAFI RINGKAS IMAM TIRMIDZI DAN KELEBIHAN KITAB HADIS, SUNAN AL- TIRMIDZI




BIOGRAFI RINGKAS IMAM TIRMIZI


Imam Tirmizi nama penuh beliau ialah Imam Al-Hafiz Abu Isa Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin Ad-Dahhak As-Sulami al-Bughi At-Tirmizi. Dilahirkan pada 209 H di Tirmiz pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Jaafar al –Makmum. Beliau merupakan salah seorang imam hadis. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 13 rajab 279H/892M di Bugh ketika berumur 70 tahun.

Pujian Ulamak Terhadapnya

Menurut apa yang dipetik daripada al Hafiz Muhammad b. Tahir al-Maqdisi melalui sanadnya daripada al-Hafiz Abdul Rahman b. Muhammad al-Idrisi : “al- Tirmizi adalah seorang hafiz , imam dalam pengajian hadis Rasulullah”. Telah menyusun Sunan al- Tirmizi, tarikh dan ilal.

Menurut al-Zahabi : “ al- Tirmizi adalah seorang hafiz, sangat alim dan telah diijmakkan oleh ulama dari segi tiqhahnya.

Imam al-Bukhari ada meriwayatkan hadis daripadanya kerana mengakui ketinggian ilmunya.

Menurut Ibn Hajar, Umran b. Allan menerangkan: “ Setelah al-Bukhari meninggal dunia, tidak terdapat di Khurasan orang yang sama dengan al Tirmizi dari segi ilmu dan warak.


KELEBIHAN KITAB HADIS, SUNAN AL - TIRMIZI
Sunan al- Tirmizi telah mendapat pujian yang begitu tinggi daripada ulama:

1. Menurut catatan Ibn Hajar imam al Tirmizi ada menerangkan: “ Setelah aku siapkan kitabku ini(Sunan al- Tirmizi) aku bentangkan kepada ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan, mereka semua menerima kitab ini.

2. Menurut al-Hafiz Muhammad b. Tahir al-Maqdisi, seorang imam yang bernama Abu Ismail Abdullah b. Muhammad al Azhari menerangkan: “Setelah Sunan al- Tirmizi diperkatakan dihadapannya beliau berkata: Menurut pendapat saya kitab al Tirmizi lebih manfaat (dipandang dari segi ulum al-Hadis) daripada kitab al Bukhari dan Muslim kerana sahih Bukhari dan Muslim hanya dapat dinilai oleh orang yang benar-benar mahir dalam ilmu hadis, sedangkan Sunan al- Tirmizi dapat dinilai oleh setiap pembaca, kerana Imam al- Tirmizi menerangkan penilaian pada setiap hadis yang diriwayatkan”.

al- Tirmizi adalah orang yang pertama membahagikan hadis itu kepada 3 bahagian: sahih, hasan dan daif. Sebelum daripada itu, hadis hanya dibahagikan kepada sahih dan daif sahaja. Daif menurut ulama sebelum al Tirmizi terbahagi kepada 2 bahagian. Daif yang boleh diamalkan adalah sama seperti hadis hasan menurut al- Tirmizi dan daif yang tidak boleh diamalkan ialah daif menurut al- Tirmizi.

Ringkasnya, hadis-hadis yang terdapat di dalam sunan al-Tirmizi dari segi diterima untuk dijadikan hujah atau tidak dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sahih, hasan dan daif.


Rujukan:

Ringkasan/Petikan buku bertajuk:
BIOGRAFI ULAMA-ULAMA HADIS;
Prof. Madya Dr Ariffin B Omar(Ketua Jabatan Al-Quran dan As-Sunnah Fakulti Pengajian Islam UKM),
H.M. Yusuf Sinaga.Lc,
Jahabersa, Cetakan Pertama : 2005

No comments:

Post a Comment